Sunday, April 14, 2024

[ Muka Surat 3 ] - Kehilangan Yang Disyukuri

Sesungguhnya, aku tidak pernah menganggap penceraian itu satu kehilangan. Ini pertama kali aku menulis secara terbuka, status kehidupan aku. Semestinya aku pasti, dengan sepenuh hati, jalan yang Tuhan atur itu hikmah-nya pasti manis. 

Tuhan telah kirimkan aku sepasang puteri dan putera
Sebagai amanah yang cukup luar biasa.
Adakala terasa tertekan kerana harus mendidik seorang diri,
dan ada masa aku terpaksa akui, aku tewas dalam perasaan sendiri
Mungkin terlalu mahukan yang terbaik buat mereka.
Aku juga penat memikirkan jika aku gagal mendidik,
Kesalahan itu hanya akan dijatuhkan kepada aku,
kerana amanah mendidik itu seperti 100% --> aku.
Maaf, malas nak ulas panjang, nanti dikatakan membuka aib pula. 

Aku suka akan peringatan yang dikirim Tuhan hari ini.
Ketika diuji, Tuhan tak suruh kita selesaikan sendiri.
Dia mahu kita kembali padaNya.
Berharap padaNya.
Sujud padaNya.
Mintalah padaNya.
Ujian itu bukan bertujuan untuk menjauhkan,
malah hadirnya setiap ujian itu agar kita terus dekat dan mengingatNya.
Seperti dijanjikan, Dia akan sentiasa ada buat kita.

Dengan itu, aku memilih untuk tidak mencari ganti
Aku sibuk belajar memupuk cinta ikhlas padaNya
Belajar menyerahkan diri secara abadi, pada cinta hakiki

Mungkin ada yang tertanya-tanya. 
Mungkin ada yang mengorek cerita.
Mungkin ada yang sibuk menjaja.
Cukuplah aku jelaskan di sini
Aku tidak perlukan simpati
Hanya berdoa agar kisah hidup ini difahami
Dan ketahuilah
Sinar bahagia ternyata lebih terang, aku happy

Aku ulang sekali lagi
Jika itu dianggap satu kehilangan, ianya ternyata KEHILANGAN YANG DISYUKURI


Kisah Benar Seorang Aizuemi

Thursday, December 07, 2023

[ Muka Surat 2 ] - Menghargai Lebih Baik


Yang melukakan aku bukan lagi kisah lalu
Yang membahagiakan aku juga bukan kisah lalu


Ternyata
Aku memilih untuk menghargai masa kini

Wednesday, December 06, 2023

[ Muka Surat 1 ] - Pena-ku kembali bekerja

Seorang sahabatku mahu aku menulis semula. 
Menulis sebuah buku tentang apa-apa sahaja.
Aku tidak pasti, coretan mana yang sebenarnya dia suka.
Meminta agar pena-ku kembali bekerja

Aku terfikir untuk menulis tentang aku
Namun tiada satu pun yang membangkitkan rasa
Tidak ada yang mengaspirasikan dunia
Yang ada cuma kisah sedih lara yang berencah-kan duka

Pemilihan cerita, gaya lenggok bersahaja
Aku rindu itu semua
Luahan tanpa menuding sesiapa
Cerita tentang entah apa-apa

Kembalikan pena-ku
Biarkan ia kembali bekerja



Wednesday, March 09, 2022

Dua Kehilangan Abadi

Aku memilih untuk menulis di sini
Kerana sudah tidak ramai yang melintas
Aku tak mahu mereka tahu
Tentang rasa ini

Tulisan ini bukan untuk dijaja
Ini luahan hati aku yang lemah
Kerna 2 kehilangan dalam masa 2 hari

Ya
Aku kehilangan 2 insan yang mencipta
banyak kenangan sejak kami kecil

Mak Lang Inas pergi menemui Ilahi pada 8 Mac 2020
Jujur, kami tidak pernah tahu nama sebenarnya
Tetapi kami tahu kami sayang Mak Lang
Setiap syawal, 
rutin kami wajib ke rumah Mak Lang
Masakan rendang itik nya memang meletup 
Dulu Mak Lang kerja di kedai roti Pak Cik
Kalau kami singgah, ada aja dibelanjanya kami
Tak tahu nak cakap macam mana
Mak Lang ramah, memang meriah
Dah berapa tahun tak balik raya
Berapa tahun juga aku tak ketemu mereka
Ralat sungguh rasanya 
Apa-apapun, kami sekeluarga pasti rasa kehilangan
Pada kami, Mak Lang sangat baik orangnya


Pak Long Gajah menghembuskan nafas terakhirnya
pada 9 Mac 2020
Pak Long dikenali sebagai Yusof Gajah
Sehinggakan Auni dan Mika
juga menggelarnya Atuk Yusop-U-Gajah
Dari kecil, dia adalah antara idola aku
Bermula dengan karyanya 3 Ekor Gajah
Ayah kenalkan kami pada lukisan Pak Long
Pak Long tak banyak cakap
Tapi sekali cakap, punchline dia padu
Pak Long kerja kuat
Untuk memperjuangkan cita-citanya
Sebenarnya, aku berdebar setiap kali notification 
facebook keluar nama Pak Long
Sebab nak tengok punchline apa dia bagi
Mungkin aku akan rindu rasa debaran itu
‘Alamak, Pak Long… bismillahhhhh’
Klik.. Fuhhh pak long tak tembak…
Bodoh kan aku? 

Ya Allah, aku tak kuat
Aku tak mampu menulis lagi
Aku menulis dengan air mata
Aku menulis dengan rasa sedih
Aku tidak dapat bertemu mereka
Untuk kali terakhir
Ralat! Sungguh rasa ini ralat sangat
Tetapi aku yakin
Tuhan menerima doa kita dari seluruh pelusuk dunia
Aku yakin Allah ada untuk menjaga mereka

Al-Fatihah
Buat 2 sepupu ayah yang kami bakal rindui



Tuesday, January 26, 2021

Harta Berharga

Wang Ringgit Bukan Dewa Bahagia


Sumpah, aku ketawa
Melihat 'revolusi' barunya
Mendabik dada
Bahagia katanya
Mau dibangga ada?
Aku pun tak pasti apa


Sering aku berdoa
Moga pilihan ku lebih rasional
Ku pacakkan tanggungjawab
Moga barokah dikurnia olehNya
Dihadiahkan kasihNya

Dua tonjak
Penguat rasa
Pengukuh mentaliti
Cinta sejati